IPOH - Kecuaian tuan rumah antara faktor utama peningkatan kes pecah rumah dan curi yang mencatatkan 17.68 peratus yang dilaporkan tahun ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, peningkatan itu membabitkan 151 kes menjadikan jumlah keseluruhan yang dicatatkan adalah 1,005 kes sehingga semalam berbanding 854 kes tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan beberapa daerah antaranya Ipoh, Hilir Perak, Manjung, Taiping, Kampar dan Tapah.

"Peningkatan kes pecah rumah ini berlaku lebih kepada kecuaian mangsa yang mengundang peluang kepada penjenayah.

"Banyak kes ini berlaku kerana kediaman tidak dikunci dengan betul terutama melibatkan rumah-rumah bujang yang didiami lebih lima orang. Ada kes kita lihat rumah itu tiada kesan pecah masuk tetapi barang berharga milik mangsa hilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Majlis Dialog Pertubuhan Pencegahan Jenayah di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kerjasama bersama 64 persatuan cegah jenayah seluruh negeri dapat membantu mengekang jenayah di kawasan komuniti.

"Persatuan-persatuan ini disarankan untuk membantu penguatkuasa dengan menjalankan rondaan di kawasan perumahan penduduk. Malah, mereka turut berperanan menjadi mata dan telinga kepada polis dalam membendung jenayah di kawasan komuniti.

"Ini kerana mereka lebih mengenali penduduk setempat dan menjadi 'orang tengah' dalam melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan kepada polis untuk diambil tindakan," katanya.