IPOH - Keadaan jejantas retak di Jalan Raja Ashman berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengundang rasa bimbang pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Beberapa gambar yang tular di media sosial menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai, sama ada laluan tersebut selamat digunakan atau sebaliknya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati laluan pejalan kaki tersebut telah ditutup kepada orang ramai tetapi jalan raya tersebut masih dibuka kepada kenderaan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kejadian berlaku dua minggu lalu apabila lori sebuah syarikat kontraktor yang membawa jentera terlanggar struktur jejantas.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan keretakan pada struktur pier dan sokongan.

"Jalan ini di bawah selian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Penghadang telah dipasang di kawasan ini dan pihak MBI telah maklum tentang isu ini.

"Keadaan struktur masih stabil dan keretakan hanyalah disebabkan impak secara literal dari pelanggaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Abdul Yunus berkata, pihak syarikat kontraktor tersebut sedang melaksanakan kajian lanjut berkaitan struktur dan akan mengemukakan laporan lengkap kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh syarikat tersebut selepas laporan tersebut dikemukakan kepada pihak MBI.

Dalam pada itu, beliau menggesa pihak terbabit segera buat pembaikan demi keselamatan orang awam sekaligus mengelak kejadian buruk berlaku.