PARIT BUNTAR - Penduduk Dun Kuala Kurau dinasihatkan jangan terperdaya dengan tindakan pihak tertentu menawarkan perkhidmatan mengukur tanah atas alasan kononnya mereka bakal ditawarkan lot geran tanah kurniaan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, kegiatan itu dikesan hasil aduan penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Jalan Bawah, Kuala Kurau apabila mereka didatangi individu tertentu yang mengenakan bayaran paling minimum RM300 setiap lot.

Menurutnya, kerajaan negeri bimbang tindakan itu akan memberi imej buruk kepada kerajaan PH susulan pihak terbabit didapati cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan mempedayakan penduduk.

"Sehingga kini, kerajaan negeri baru dalam proses mengenal pasti kampung baru, kampung tradisional dan kampung tersusun di Dun Kuala Kurau bagi tujuan pemberian geran hak milik tanah selepas pemberian geran hakmilik dilaksanakan di Kampung Kuala Bagan Tiang baru-baru ini.

"Saya minta penduduk jangan terburu-buru dan rujuk dahulu maklumat terkini daripada kerajaan negeri di pejabat penghulu mukim masing-masing sekiranya didatangi pihak tersebut.

"Proses pemberian geran hak milik tanah akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan pastinya bukan semua kampung akan dilibat serentak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkst Dun Kuala Kurau di Dewan JKKK Tanjung Piandang, dekat sini, hari ini.

Seramai 250 murid dan pelajar menerima sumbangan kerajaan negeri dan Yayasan Perak membabitkan pemberian beg sekolah, kasut dan pakaian seragam bernilai RM150 setiap seorang untuk sesi persekolahan tahun depan.

Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau berkata, proses penyerahan geran hak milik tanah seterusnya dijangka dibuat melibatkan kawasan Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) di Lembah Beriah, Dun Gunong Semanggol.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus menegaskan projek pembinaan persimpangan Jambatan Kuala Kurau sepanjang dua kilometer dan bernilai lebih RM10 juta dijangka akan disiapkan pada Jun tahun hadapan.

Menurutnya, projek pembinaan persimpangan melibatkan Jalan Tuju, bermula dari Kampung Batu 14, di sini dan bakal menyelusuri kawasan Kampung Tok Ngah juga kini sedang giat dilaksanakan.

"Projek itu juga melibatkan pengambilan tanah beberapa penduduk Kampung Tok Ngah dan pampasan RM400,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi menyelesaikan proses perpindahan mereka.

"Dengan siapnya jalan itu akan memberikan kemudahan kepada penduduk Kampung Batu 14 dan Kampung Tok Ngah di sini," katanya.