IPOH - Jalan pintas yang menghubungkan Klebang dan Meru Raya, di sini dijangka siap tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju terlibat dengan jalan tersebut bagi menyelesaikan beberapa isu berkaitan.

Katanya, sebelum ini, pembinaan laluan tersebut tertangguh disebabkan laluan tersebut melibatkan hak milik beberapa pemaju.

"Kita sudah dalam peringkat akhir perbincangan untuk merealisasikan laluan tersebut. Pihak pemaju yang terlibat akan mengeluarkan peruntukan masing-masing untuk memastikan jalan ini disiapkan.

"Kerajaan negeri juga melalui peruntukan Menteri Besar Perak akan menyalurkan peruntukan sejumlah RM1 juta bagi membina jambatan di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Secara Simbolik 34 unit Rumah Teres Mampu Milik Taman Klebang Putra di Rumah Kelab MK Land, di sini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holding, K Mohanachandran dan Pengurus Besar Kanan MK Land Holding Berhad, Norida Abu Kassim.

Choo Kiong berkata, dengan adanya jalan pintas tersebut ia akan memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Klebang ke Meru Raya.

Katanya, jarak yang ada kini sejauh 15 km berbanding jalan pintas tersebut hanya 4 kilometer.

Mohanachandran berkata, pembinaan jalan tersebut akan memanfaatkan penduduk khususnya di Taman Klebang Putra dan Taman Meru Perdana.

Menurutnya, kedua-dua kawasan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan 4,500 unit dengan kos pembangunan RM1 billion.

Sehingga kini terdapat 3,800 rumah yang telah dibina di kawasan tersebut dan dijangka dalam tempoh tiga hingga lima tahun kesemua rumah tersebut akan dibina.