PARIT BUNTAR - Kerajaan PH mahu le­bih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu perseorangan terus memberi bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah atau golo­ngan B40 khususnya bantuan persiapan awal persekolahan.

Pegawai Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Adnan Abdul Rahman berkata, pemberian bantuan kelengkapan sekolah pen­ting dalam usaha membantu meringankan beban ibu bapa sekali gus memberi keceriaan kepada pelajar yang akan memulakan persekolahan sesi 2019, Januari ini.

Menurutnya, lebih ramai penyumbang individu seperti tokoh pesara kerajaan, Datuk Mohmed Rosli Sa'ad dan isterinya, Datin Dr Norasyikin Mohd Nordin sudi menyumbang lebih RM10,000 untuk kebajikan 50 pelajar kurang berkemampuan sekitar Kampung Tanah Kebun, di sini, diperlukan pihak kerajaan dalam memastikan lebih banyak golongan memerlukan dibantu.

“Sejujurnya, pada hemat saya program sebegini perlu dijadikan sebuah anjakan pragmatik bagi memastikan kesejahteraan rakyat dijaga bersama-sama, sekaligus membolehkan segala usaha bakal dilaksana kerajaan akan lebih mencapai matlamat dan objektifnya.

"Kerajaan PH memang komited mendengar denyut nadi rakyat di Parlimen Parit Buntar apabila keseluruhan sejumlah 1,250 pelajar parlimen sini dibantu, namun kita memang mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak lain yang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dalam majlis penyerahan bantuan persekolahan pelajar Sekolah Kebangsaan Tanah Kebun (SKTK) kurang berkemampuan anjuran Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Tanah Kebun, di sini, hari ini.

Dalam majlis turut dihadiri Pengerusi MPKK Tanah Kebun, Noor Azlan Mohd Jaya, seramai 50 pelajar menerima bantuan se­per­ti beg, alat tulis, pakaian sera­gam sekolah, botol air dan pelbagai barang keperluan sekolah bernilai RM200 seorang.

Adnan berkata, kerajaan nege­ri sentiasa membuka ruang kepada semua agensi kerajaan, swasta dan NGO, individu persendirian menghulurkan sumbangan pe­riba­di untuk mengimbangi lagi proses kemampanan dan kese­jahteraan sejagat secara holistik.

“Saya sedia maklum bahawa masih ada sesetengah masyarakat yang ingin membantu tanpa mengira berbezaan agama, bangsa dan warna kulit, ianya sudah cukup membuktikan masyarakat Malaysia adalah masyarakat sangat prihatin dan berperikemanusiaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain di Temenggor, Gerik,  sejumlah 100 pelajar kurang berkemampuan di Dun Temengor, menerima bantuan barangan kelengkapan sekolah sumbangan Yayasan Perak bernilai RM150 setiap seorang.

Mereka adalah sebahagian daripada 10,000 pelajar anak Perak yang terpilih menerima bantuan kelengkapan sekolah berbentuk pakaian seragam, bag sekolah serta alat tulis.

Sumbangan kepada pelajar berkenaan diserahkan oleh Penyelaras Program Kembali Ke Sekolah 2019 bagi Dun Temengor, Mohd Fadzil Abdul Aziz.