IPOH - Terkejut, terharu namun dalam masa yang sama berbesar hati.

Itu perasaan dikongsi M Raman, 37, salah seorang daripada keluarga bukan Islam yang menerima bantuan kembali ke sekolah anjuran Masjid Abdul Rahman Auf, semalam.

Dalam majlis itu, seramai 70 murid, 12 daripadanya bukan Islam menerima bantuan kewangan RM100 bagi membeli kelengkapan sekolah sesi depan.

Raman yang bekerja buruh berkata, ini kali pertama anaknya menerima bantuan persekolahan seumpama itu dan sama sekali tidak menyangka datangnya daripada dana tabung masjid.

Dia yang memiliki lima anak, empat daripadanya bersekolah mengakui, memerlukan kos yang besar bagi membuat persiapan baru sekolah.

"Saya terharu dengan kesudian jawatankuasa masjid memilih kami sebagai penerima, bukan nilai yang kita kira, tapi keikhlasan mereka memberikan bantuan tanpa mengira bangsa," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi masjid, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, bantuan kembali sekolah yang diadakan pada tahun ketiga itu disampaikan menerusi sumbangan orang ramai melalui tabung kebajikan masjid.

Menurutya, penerima bantuan bukan sahaja kalangan kariah masjid, tetapi menerusi sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sebagai jawatankuasa, menjadi tanggungjawab kita untuk mempromosikan bahawa masjid juga mampu menjadi ejen pelaksana program kebajikan di negara ini.

"Ia perlu digerakkan supaya manfaat dan kelebihan yang diterima dirasakan oleh semua orang yang perlu dibantu," katanya.

Dr Khairuddin berkata, tabung kebajikan masjid yang turut dipromosikan menerusi website dan media sosial itu menerima banyak sumbangan daripada pihak luar.

"Kita beri jaminan dana yang kita terima ini digunakan sepenuhnya untuk hal-hal kebajikan," katanya.

Dalam majlis sama, jawatankuasa Masjid Abdul Rahman Auf turut menyampaikan bantuan kemanusian Sulawesi sebanyak RM12,000 melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan RM1,500 kepada enam waris mangsa kebakaran akibat letupan sebuah rumah kedai di Jelapang Maju.

Bantuan sebanyak RM19,000 pula kepada Dana Pembela Larut bagi menguruskan perbelanjaan kembali ke sekolah kepada hampir 200 murid kurang berkemampuan di kawasan itu.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Muamalat 08040003430716 atas nama Masjid Abdul Rahman Auf-Tabung Kebajikan.