LUMUT - Sepasang ular sawa dipercayai sedang mengawan berjaya ditangkap anggota Bomba dan Penyelamat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini.

Ular sawa batik sepanjang lima meter dengan berat lebih 100 kilogram itu ditemui anggota bomba yang bertugas di kawasan hutan berhampiran kira-kira jam 12 tengah hari.

Pegawainya, Leftenan Komander Meor Fuad Zakaria berkata, setibanya di tempat kejadian, pihaknya tidak menyangka haiwan disangka kecil itu sebenarnya memerlukan kekuatan 10 anggota bagi menariknya keluar dari semak.

"Setibanya di lokasi itu, kita hanya lihat ekor ular itu kecil dan ketika usaha menariknya keluar, ia memerlukan beberapa anggota untuk mengangkat.

"Operasi mengambil masa lebih 30 minit sebelum disimpan untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.Noor Ainon Mohamed Yusof

Menurutnya, ketika operasi, haiwan itu tidak agresif dan pihaknya menjaga haiwan tersebut termasuk memandikannya.

"Habitat ular adalah ditempat sejuk dan ia mudah agresif bila panas.

"Sepanjang empat tahun bertugas, ini pengalaman pertama anggota menangkap ular sawa sebesar ini. Kebiasaan menerima laporan membabitkan ular bersaiz kecil," katanya.