SUNGAI MANIK - Keceriaan jelas terpancar diraut wajah kira-kira 562 pelajar sekolah sekitar Parlimen Pasir Salak apabila menerima bantuan baju seragam sekolah baharu dan basikal untuk digunakan pada musim sesi persekolahan 2019 nanti.

Rata-rata mereka teruja mendapat sepersalinan baju seragam baharu dan juga basikal warna-warni yang pastinya menambah keseronokan untuk ke sekolah bersama rakan-rakan yang lain.

Riuh rendah pelajar tersebut menggamit ruang Dewan Besar Pekan Rabu, Sg. Manik apabila teruja mencuba baju seragam baharu sambil bermain basikal dan berkongsikan kegembiraan itu dengan ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Bantuan Back To School ini disampaikan sendiri Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman merangkumi 515 pasang baju seragam sekolah dan 47 basikal kepada pelajar-pelajar yang hadir.

Tajuddin berkata, program ini telah menjadi kelaziman sejak beliau memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen dari tahun 2008 hingga kini.

"Ia salah satu usaha mendekati rakyat dan masyarakat sambil peluang bertegu sapa dan bertanyakan khabar," katanya.

Di akhir program, kesemua pelajar, ibu bapa, penjaga dan Tajuddin sendiri bergambar dan berselfie sebagai simbol memori kenangan acara tersebut.