KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menubuhkan Institut Confucius atau Institut Kong Zi melalui  kerjasama Confucius Institute Headquaters (Hanban).

Penubuhan institut tersebut bakal memberi manfaat kepada  mahasiswa dan masyarakat setempat terutamanya dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim hadir bertukar dokumen perjanjian bersama Timbalan Pengarah Hanban, Zhao Guocheng sempena penganjuran Persidangan Kali ke-13 Institut Confucius di  Chengdu, China, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan Hanban, Profesor Wang Yong, Setiausaha Jawatankuasa Universiti Hebei, Profesor Gui Jian, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa Universiti Hebei, Profesor Li Xiaoliu  dan Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) UMP, Yong Ying Mei.

Dr Daing Nasir berkata, kewujudan institut itu akan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin dan juga pertukaran kebudayaan melibatkan dua negara.

Malah katanya,  hasil hubungan baik UMP dengan pihak Universiti Hebei sejak 2011, seramai 22 guru Bahasa Mandarin telah ditempatkan di universiti itu.

Universiti Hebei merupakan universiti di China yang dilantik pihak Hanban bagi kerjasama terhadap penubuhan Institut Confucius.

“Setakat ini dua institusi pendidikan tinggi di Malaysia yang menubuhkan institut tersebut iaitu di  Universiti Malaya (UM) dan Universiti Segi,” katanya.