KUANTAN - Tourism Malaysia Wilayah Timur melancarkan e-newsletter 'Salam Pantai Timur Highlights 2019' bagi memudahkan agensi, pemandu dan pemilik produk pelancongan memperkenal dan mengemaskini produk mereka.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Dr Zaliha Zainuddin berkata, ia sebahagian inisiatif pihak Tourism Malaysia dalam usaha menjadikan Pantai Timur sebagai tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, menerusi kaedah ini, pelancong lebih mudah untuk mengakses maklumat diperlukan sebelum membuat keputusan untuk bercuti ke destinasi menarik yang terdapat di Pantai Timur.

"Pengenalan e-newsletter ini sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan Tourism Malaysia percaya penggunaan media sosial lebih membantu dalam mempromosikan pelbagai produk dan destinasi (pelancongan) yang menarik di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Selain memuatnaik pelbagai program dianjurkan, ia juga dapat memantapkan lagi rangka promosi serta melaksanakan strategi pemasaran produk pelancongan secara bersegmen bagi memudahkan pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Tumpuan Pelancongan Wilayah Pantai Timur 2018/2019, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Zaliha berkata, pihaknya sentiasa berusaha menjadikan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelancongan unggul di negara ini.

Jelasnya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, pihaknya telah melaksanakan pelbagai acara menarik bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Antara yang kita akan laksanakan antaranya penganjuran pelbagai acara pelancongan, memantapkan rangka promosi dan melalui projek pembangunan pelancongan yang telah dan sedang dilaksanakan.

“Bagi mencapai sasaran itu, kita akan fokus pada usaha memasarkan produk pelancongan di setiap negeri kepada pelbagai segmen iaitu agrotourism, eko pelancongan, pelancongan sejarah dan warisan, pelancongan membeli-belah, pantai dan pulau serta segmen gastronomi atau makanan.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, dengan peningkatan teknologi maklumat yang semakin pesat, Tourism Malaysia Wilayah Timur akan menggunakan kemudahan media sosial bagi tujuan promosi acara pelancongan dan produk di peringkat nasional serta antarabangsa.