PEKAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan daripada empat institusi korporat berjumlah RM0.9 juta, hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menerima zakat perniagaan berjumlah RM515,000  daripada Koperasi Permodalan Felda (KPF) diserahkan Ahli Lembaga pengarah KPF, Datuk Zainal Hassan.

Pada majlis penyerahan di Kompleks Islam Sultan Ahmad Shah di sini, RM193,000 diterima daripada Radicare Group of Company, Perbadanan Tabung pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) RM139,071 dan Agrobank, RM65,000.

Turut hadir, Timbalan yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Datuk Halidan  Md Daud dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Dalam perkembangan sama, Tengku Abdullah berkata, seramai 82,195 individu tampil menunaikan kewajipan sebagai pembayar zakat sehingga 17 Disember tahun ini dengan jumlah kutipan keseluruhan, RM104.2 juta.

Baginda bertitah, bilangan pembayar itu menunjukkan peningkatan berbanding 79,326 orang dengan  jumlah kutipan lebih tinggi  RM110.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pusat Pungutan Zakat (PKZ) Pahang menyasarkan kutipan zakat RM130 juta dengan 85,00 pembayar tahun ini,” titah baginda.