KUANTAN - Kejadian guli misteri yang mengakibatkan kejadian pecah cermin kereta di daerah ini berjaya diselesaikan apabila suspek berjaya ditahan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan maklumat, suspek yang berumur 56 tahun itu berjaya ditahan di pekarangan rumahnya di Bukit Setonggkol Jaya pada jam 4 petang.

“Susulan penahanan suspek, polis merampas kenderaan utiiti sukan (SUV) yang digunakan, lastik dan empat bungkusan berisi guli.

"Hasil siasatan awal mendapati motif suspek melakukan perbuatan tersebut disebabkan kebimbangan seolah-olah diikuti oleh orang tertentu kerana meninjam wang daripada ah long,” katanya.

Beliau berkata demiakin kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Kuantan Parade di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih lagi dijalankan dan polis percaya berjaya menyelesaikan kes itu dengan tertangkapnya lelaki tersebut yang kini direman sehingga Ahad ini .

Dalam pada itu, Mohd Noor berkata indeks jenayah di Kuantan menunjukkan penurunan 6.78 peratus atau 98 kes bagi tahun ini berbanding tahun 2017.

“Namun, kes pecah rumah dan curi kenderaan menunjukkan peningkatan dan pihak polis sedang berusaha mempertingkatkan cara penyelesaian bagi mengurangkan kadar jenayah bagi kes ini.

“Tetapi kita bersyukur setakat ini kita berjaya menumpaskan beberapa kes berkaitan pecah rumah dan curi kenderaan seperti Geng Estima Hitam dan Geng Tatoo baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, pihaknya juga berjaya mengurangkan jenayah komersial pada tahun ini yang melibatkan kerugian sebanyak RM10 juta berbanding tahun 2017 iaitu berjumlah RM16 juta

“Kuantan merekodkan mangsa penipuan jenayah komersial yang paling tinggi terutamanya mangsa yang terdiri daripada golongan wanita. Kes paling banyak kerugian adalah melibat penipuan perjanjian wang yang tidak wujud di media sosial.

“Namun jika dibandingkan dengan tahun lepas, berlaku penurunan dan ini membuktikan masyarakat kita sudah ramai mendapat kesedaran hasil tindakan yang diambil pihak polis dan pihak terlibat,” katanya.