KUANTAN- Kewujudan sistem aduan atas  talian, aduan.wanrosdy.com dimanfaatkan penduduk negeri ini untuk menyalurkan sebarang permasalahan terus kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sehingga 10 Disember lalu, 425 aduan diterima melalui sistem tersebut dan 232 aduan yang diterima telah dijawab dan diselesaikan agensi dan jabatan yang berkaitan.

Wan Rosdy melalui Facebook rasminya memaklumkan, daripada keseluruhan aduan diterima, 114 aduan masih belum dijawab dan diambil tindakan pihak berkaitan.

Katanya, 64 aduan atau 15 peratus didapati tidak relevan dan 15 atau peratus aduan baharu yang diterima.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan kerjasama sama semua pihak termasuk pengadu dan agensi atas tindakan yang diambil.

“Justeru, saya menggesa kepada pihak agensi dan jabatan berkaitan supaya terus memberi perhatian dan mengambil tindakan terhadap aduan tersebut,”katanya.

Inisiatif  yang  diwujudkan sejak 5 September lalu itu merupakan platform terbaik kepada penduduk di negeri ini mengemukakan aduan mereka.

Melalui pembaharuan yang diperkenalkan  kerajaan negeri itu, rakyat boleh terus menyalurkan aduan berhubung permasalahan mereka secara terus kepada beliau.

Aduan melalui portal itu lebih terjamin kebenarannya  kerana  pengadu perlu mengikuti langkah yang ditetapkan.

Pengadu perlu mengemukakan butiran peribadi lengkap termasuk nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bersama aduan mereka.

Cara itu dilihat  lebih efektif kerana maklumat pengadu itu membuktikan kesahihan sesuatu aduan untuk kita teliti dan mengambil tindakan selanjutnya.

Setiap maklumat mengenai aduan yang diterima akan diteliti sama ada ia dibawah bidang kuasa kerajaan negeri atau melibatkan agensi atau jabatan lain.

Sekiranya aduan itu melibatkan bidang kuasa pihak lain, maklumat tersebut akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk maklum balas dan tindakan.