KUANTAN – Orang ramai yang memiliki saman tertunggak berpeluang menyelesaikannya pada kadar diskaun 50 peratus di pekarangan Balai Polis Trafik Daerah Kuantan di Jalan Mat Kilau pada 26 hingga 27 Disember ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kaunter pembayaran saman itu akan dibuka bermula 9 pagi sehingga 5 petang untuk tempoh dua hari bagi memberi kemudahan kepada mereka yang berada di daerah ini.

"Tawaran diskaun ini merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman di dalam perbicaraan mahkamah, saman yang diterima semasa Ops Selamat tahun semasa dan saman berkaitan lori," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Kuantan Prade, di sini hari ini.

Menurutnya Bagi mengelakkan kesesakan, orang ramai dinasihatkan supaya datang awal pada hari pembayaran dan membuat semakan terhadap saman dimiliki di cawangan trafik terdekat ataupun secara atas talian sebelum hadir membuat bayaran

"Berdasarkan pengalaman terdahulu, akan berlaku kesesakan yang teruk pada hari pembayaran dan pastikan anda datang awal pada hari pembayaran.

"Sila pastikan jenis saman yang dimiliki itu berada di dalam kategori yang boleh mendapat pengurangan bayaran untuk mengelakkan anda beratur dengan sia-sia," katanya.