KUANTAN - Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, polis Pahang sedang membuat persiapan rapi untuk PRK yang dijadualkan pada 26 Januari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, mesyuarat awal berhubung penugasan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang sudah dilakukan minggu lalu.

Menurutnya, pihaknya yakin tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya berada dalam keadaan terbaik bagi memastikan PRK Cameron Highlands berjalan lancar.

"Kita juga sudah bersiap sedia untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan lain, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan tugas secara tersusun.

"Berkaitan jumlah pegawai dan anggota yang bakal ditugaskan di sana nanti, kita tidak berdepan masalah kerana sumber tenaga PDRM Pahang sendiri mencukupi dan dibantu kakitangan agensi lain untuk tujuan mengawal tempat letak kenderaan atau perkara lain membabitkan keselamatan komuniti di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

PRK Cameron Highlands diadakan semula susulan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur pada 30 November lalu yang mengisytiharkan kerusi Parlimen itu kosong selepas mendapati kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh terdapat unsur rasuah.

Calon DAP, M Manogaran, mengemukakan petisyen pada Jun lalu mendakwa Sivarraajh melanggar Akta Pilihan Raya 1954 apabila didakwa menyogok pengundi Orang Asli.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membayar penduduk Orang Asli antara RM30 hingga RM1,000 melalui tok batin bagi memastikan kemenangan BN dalam pertandingan lima penjuru.

Sivarraajh menang dengan undi 10,307 undi, manakala Manogaran memperoleh 9,710 undi. Calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680) dan calon parti Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81).