KUANTAN - Permainan tradisional yang kian dilupakan seperti gasing pangkah mampu menyemai semangat cintakan warisan budaya di samping dapat memberi pendedahan tentang kehebatan permainan rakyat

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, Malaysia mempunyai pelbagai permainan rakyat dan tradisional yang dimainkan pada waktu lapang walaupun ia tidak berteknologi namun mampu memberi kenangan.

“Permainan yang menjadi identiti negara semakin dipinggir masyarakat terutama generasi muda berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat yang membuka ruang peningkatan permainan moden di alam maya yang membuatkan mereka lebih menjiwai permainan berasaskan komputer dan digital.

"Namun, sebenarnya permainan komputer dan digital bukan sahaja tidak menyihatkan tubuh badan malah mewujudkan jurang sesama manusia yang lebih suka menghabiskan masa di hadapan komputer seorang diri," titahnya.

Baginda bertitah selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Dam Haji Terbuka Pahang Piala Tengku Mahkota Pahang yang turut dihadiri Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, ramai yang melihat permainan moden sebagai suatu proses yang tidak penting dalam perkembangan karektor anak muda.

"Ini jauh berbeza dengan permainan rakyat tradisional yang memerlukan interaksi di alam realiti dan bukannya maya yang akan mewujudkan sebarang sikap tidak prejudis mahupun perkauman.

Inilah ramuan utama perpaduan negara di samping. Justeru, amatlah bertepatan permainan ini dipopularkan semula di negara kita bagi membentuk jati diri negara dan janganlah memandang rendah permainan seperti Dam Haji yang menjadi warisan budaya kita,” katanya.