RAUB - Strategi turun padang Majlis Daerah Raub melalui program walkabout bersama peniaga di daerah ini diharap mencapai matlamat memastikan perniagaan mereka mengikut peruntukan undang-undang.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Hamdan Husin berkata langkah itu diambil bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada peniaga kepentingan mematuhi peraturan seperti yang telah ditetapkan.

Menurutnya, ini juga memberi peluang kepada peniaga untuk menyatakan pandangan dan masalah yang berlaku di samping mewujudkan hubungan silaturahim antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga.

"Antara perkara yang dilihat dalam program tersebut adalah pematuhan kepada undang-undang dan peraturan, lesen, sewa, halangan kaki lima, tunggakan, aspek teknikal dan pelbagai lagi.

“Tindakan tegas akan dikenakan jika ada peniaga tidak memberi kerjasama, namun kita lebih berharap agar kesedaran di dalam diri mereka itu lebih penting,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Dalam pada itu, Hamdan turut menggesa para peniaga supaya sentiasa menjaga dan mempunyai kesedaran terhadap aspek kebersihan gerai mereka demi keselesaan serta tarikan pengunjung.

Menurutnya, kesedaran itu perlu menjadi pegangan asas dalam kalangan peniaga dan bukannya mengharapkan pihak berkaitan menjaga kebersihan.

“Sikap menjaga kebersihan di ruang niaga masing-masing sangat penting bagi mengelak jangkitan penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan pengunjung dan pada masa sama suasana ceria dapat diwujudkan di pasar berkenaan.

"Dengan meningkatkan tahap kebersihan premis, ianya juga dapat menjadi satu daripada tarikan pelancong tempatan mahupun pelancong asing dalam mengenali budaya masyarakat di daerah ini.

“Saya menggesa agar para peniaga dan pengunjung dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan berganding bahu menjaga kebersihan,"katanya.

Tambahnya, menerusi program turun padang pihaknya mendapatkan penerimaan orang ramai khususnya peniaga dan diperluaskan lagu bagi menjamin penambah baikan kualiti peniaga di daerah ini.