KUALA LIPIS - Kemboja menjadikan Malaysia sebagai model terbaik untuk pembangunan masyarakat luar bandar di  negara itu.

Ia menerusi kerjasama yang akan dijalinkan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) dalam membantu masyarakat luar bandar di negara itu keluar dari kepompong kemiskinan.

Timbalan Menteri Luar Bandar Kemboja, H. E Math Mara berkata, pemilihan negara ini berikutan kejayaan Malaysia membangunkan masyarakat luar bandar menerusi kewujudan pelbagai agensi seperti Felda, Felcra.

Menurutnya,kerana ketiadaan kewujudan agensi-agensi khas terbabit seperti di negara ini di Kemboja, gerakan koperasi seperti Angkasa dilihat sebagai satu platform terbaik untuk pembangunan masyarakat luar bandar.

"Kita telah memilih 10 buah kampung untuk mewujudkan koperasi terbabit dan kita berharap kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Angkasa ini dapat membantu Kemboja," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan delegasi negara itu bersama Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah hari ini.

Sementara itu, Abdul Fattah mengalu-alukan kerjasama terbabit dan sedia  menyalurkan pengalaman dan bantuan Angkasa kepada negara itu.

Menurutnya, dengan peranan Malaysia yang juga Presiden Organisasi Koperasi Asean (Aco), Angkasa melihat sektor pertanian dan modal pembangunan insan antara prospek gerakan koperasi di negara berkenaan.

"Setakat ini kita difahamkan terdapat 800 hingga 1,000 koperasi di negara itu. Dan kita akan mengkaji dan mengenal pasti potensi kampung-kampung terbabit selain mereka yang boleh dibimbing untuk menjadi penggerak koperasi terbabit.

"Kita menjangkakan usaha ini boleh dijalankan pada tahun hadapan, "katanya lagi.