KUANTAN - PKR Paya Besar menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  melihat semula lantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang.

Ketuanya, Albakri Salim berkata, ia jelas terdapat ketidakadilan dalam proses lantikan tersebut.

Menurutnya, beliau sedia maklum  kuasa lantikan Pengerusi MPN  kuasa penuh presiden selepas rundingan dengan  kesemua ketua-ketua cabang yang dipilih.

"Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi, adalah mustahil untuk Presiden tidak mengikut suara majoriti ketua cabang.

"Kita lihat pada pertemuan Presiden bersama ketua-ketua cabang PKR Pahang tempoh hari, jelas calon yang mendapat undi majoriti tidak dipilih,"katanya.

Albakri berkata, malah tujuh  ketua cabang bertindak menandatangani satu memorandum yang dihantar kepada Presiden pada 10 Disember lalu berhubung perkara berkenaan sebelum pertemuan  diadakan.

"Adakah berlaku pujuk rayu, ugutan atau sogokan bagi mempengaruhi sokongan ketua-ketua cabang kepada individu tertentu ?

"Sehubungan itu, PKR Paya Besar berpendapat perkara sebegini bukan sesuatu yang sihat untuk parti," katanya.

Beliau berkata, gesaan  itu dibuat bagi menjaga nama baik presiden dan parti itu sendiri.