KUANTAN - Tiga lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan dibina Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang  bagi menampung permintaan masyarakat setempat.

Pengarahnya, Zulkhari Zainol Abidin berkata, tiga PAWE yang akan dibina Dalam Rancangan Malaysia Ke-11(RMK11) itu terletak di Temerloh, Lipis dan Cameron Highlands.

Menurutnya, sehingga kini terdapat seramai 23,050 warga emas pelbagai kaum dan menjadikan lapan PAWE di negeri ini sebagai rumah ke dua mereka.

“Jumlah mereka tinggal di PAWE selama sembilan jam bermula lapan pagi dijangka akan terus bertambah setiap tahun.

“Sepanjang berada di PAWE, warga emas disediakan dengan pelbagai aktiviti seperti kelas al Quran, fardu ain, kraftangan, senaman dan perbincangan mengikut minat masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya,selain tempat tidur mereka juga disediakan makan dan minum secara percuma sepanjang berada di PAWE.

“Kemudahan terbabit disediakan sepenuhnya oleh kerajaan selain sumbangan pihak swasta dan individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, kerajaan menetapkan setiap kawasan Parlimen sekurang-kurangnya mempunyai satu PAWE bagi membantu menjaga warga emas terutama apabila anak mereka keluarga bekerja.

Dalam pada itu, Zulkhari memberitahu, setiap tahun peruntukan sebanyak RM33,000 disediakan kepada pentadbiran PAWE bagi membolehkan  aktiviti diadakan, selain perbelanjaan penyediaan keperluan harian.

“Kebanyakkan PAWE diuruskan sepenuhnya oleh sukarelawan terdiri masyarakat setempat yang turut dibantu warga emas, kerjasama berkenaan menjadi pencetus  kejayaan setiap pusat jagaan.

“PAWE Bentong dikenal pasti yang terbaik di negeri ini, mereka bukan sahaja berjaya menguruskan pusat jagaan berkenaan tetapi turut mengadakan aktiviti ekonomi dikendalikan oleh warga emas.

“Terdapat warga emas datang ke PAWE setiap hari hanya semata-mata untuk bertemu rakan selain mengikuti aktiviti diadakan, mereka lebih selesa berada di pusat jagaan walaupun mempunyai ahli keluarga di rumah," katanya.