KUANTAN - Proses menaik taraf dan membaik pulih jambatan gantung di Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut dijangka siap antara 30 hingga 36 bulan lagi.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) negeri, Datuk Idros Yahya berkata, tempoh itu perlu mengambil kira pelbagai faktor sampingan ketika kerja naik taraf dilakukan.

Menurutnya, setakat ini laluan ‘canopy walk’ merentasi kawasan hutan masih dipelihara dengan baik meskipun kerja membaik pulih dan menaik taraf dilakukan.

“Dalam hal ini kita kena berhati-hati supaya tidak ada pokok atau kawasan terjejas ketika kerja-kerja naik taraf dilakukan.

“Kita jangkakan pembinaan ini mungkin boleh siap dalam tempoh 30 hingga 60 bulan, namun ia bergantung pada keadaan dan penilaian pihak yang diberi tanggungjawab melakukan kerja terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Tumpuan Pelancongan Wilayah Pantai Timur 2018/2019 yang dirasmikan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Dr Zaliha Zainuddin, hari ini.

Pada majlis tersebut, Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Timur telah melancarkan e-newsletter ‘Salam Pantai Timur Highlights 2019’ bagi memudahkan agensi pelancongan, pemandu pelancongan dan pemilik produk pelancongan memperkenalkan serta mengemas kini produk mereka.

Ditanya mengenai kos dan jarak laluan jambatan gantung itu, Idros memberitahu, kerajaan menyediakan peruntukan RM4.2 juta bagi kerja menaik taraf.

Jelasnya, kos terbabit sudah diluluskan kerajaan melalui Motac dan ia dilaksanakan secara berperingkat.

“Semua ini (pembinaan ini) memerlukan masa untuk siap. Laluan sejauh 550 meter dan sudah diiktiraf sebagai jambatan gantung terpanjang di dunia apabila siap kelak.

“Kita jangkakan jarak laluan 'canopy walk' ini boleh mencecah antara 750 meter hingga 900 meter,”katanya.

Beliau berkata, penambahan jarak laluan ini adalah bagi memberi kepuasan kepada pengunjung (pelancong) menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Negara.