KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mencadangkan agar penganjur program membabitkan umat Islam menjemput qari dan qariah untuk memperdengarkan bacaan al-Quran dan dijadikan platform untuk mengetengahkan bakat mereka kepada masyarakat.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata Pahang mempunyai ramai qari dan qariah yang mampu membaca al-Quran dengan baik termasuk bacaan secara taranum.

"Namun qari dan qariah di negeri ini tidak mempunyai medan untuk memperdengarkan bacaan mereka kepada masyarakat. Kalau penyanyi ramai yang anjur program untuk menyanyi tapi kenapa tiada orang nak buat pesta al-Quran.

"Sepatutnya bila adakan majlis membabitkan orang Islam kena ada bacaan al-Quran yang baru masyarakat kita nampak al-Quran itu diletakkan di kedudukan yang mulia dan usaha memperkasakan syiar Islam," katanya ketika Sinar Harian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Membaca al-Quran peringkat Kuantan di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Qadhi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain.

Dalam pada itu, Mohd Ghazali berkata, pihaknya juga mencadangkan agar masjid dan surau dapat dijadikan medan qari dan qariah untuk memperdengarkan bacaan mereka secara suka rela.

Menurutnya, pengurusan masjid dan surau perlu menyediakan satu ruang khas buat qari dan qariah di samping menarik minat orang ramai untuk datang mengimarahkannya.

"Selain itu, kita juga berharap agar lebih banyak pertandingan berasaskan pembacaan al-Quran di peringkat daerah dan kampung bagi membolehkan lebih ramai membabitkan diri.

"Namun syaratnya tidak terlalu ketat seperti pertandingan peringkat antarabangsa yang menyebabkan orang kampung yang nak sertai pertandingan hilang minat disebabkan syarat yang terlalu rumit," katanya.