KUANTAN - Kenyataan Ketua Cabang PKR Paya Besar, Albakri Salim meminta agar pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh dikaji semula, disifatkan sebagai pandangan peribadi, bukan mewakili cabang itu keseluruhannya.

Naib Ketuanya, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, PKR Cabang Paya Besar tidak pernah membuat keputusan berhubung gesaan itu.

Menurutnya, kenyataan Albakri mendakwa kehendak dan pilihan tujuh ketua cabang tidak diambil kira Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menimbulkan persoalan dan boleh dipertikaikan.

“Beliau sendiri mengakui kuasa melantik pengerusi MPN hak presiden jadi sepatutnya keputusan itu dihormati.

“Persoalannya juga, adakah gesaan daripada tujuh ketua cabang itu mewakili majoriti keseluruhan 14  cabang yang ada dan adakah presiden tidak memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pendirian masing-masing pada  pertemuan dengan semua ketua cabang baru-baru ini?,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Fauzuldin berkata, kenyataan seperti itu sepatutnya tidak ditimbulkan kerana mereka boleh bersuara menyatakan pandangan sewaktu pertemuan bersama presiden.

“Kita dapati ada undian sulit dibuat selain dari memorandum yang dikatakan dihantar sebelum perjumpaan diadakan.  

“Justeru saya selaku naib ketua cabang menegaskan kami tidak pernah membuat keputusan atau kenyataan seperti yang dinyatakan bahkan di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa cabang pada 16 Disember lalu langsung tidak membincangkan isu berkenaan Pengerusi MPN Pahang,’katanya.

Menurutnya, beliau sendiri membawa usul ucapan tahniah kepada Pengerusi MPN yang baharu dan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Pengerusi MPN sesi yang lalu.

“ Sewaktu saya membawa usul ini, tiada seorang pun yang membantah dan saya anggap ianya dipersetujui.  

“Malangnya, empat hari selepas mesyuarat, ketua cabang membuat kenyataan tersebut dan bagi saya kenyataan itu adalah kenyataan peribadi,”katanya.

Beliau berkata, keputusan presiden perlu dihormati seperti mana ahli peringkat cabang  menghormati hak-hak ketua cabang yang diberi kuasa dalam  melantik ahli jawatankuasa  tambahan dan biro lantikan.

“Jangan kita menggunakan semaksima mungkin hak yang kita ada sebagai ketua cabang tetapi hak presiden kita pertikaikan.  

“Sebagai pemimpin kita jangan mudah menjadi 'bidak catur' kepada pihak lain yang berkepentingan,”katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kaji semula lantikan MPN PKR Pahang]