KUANTAN –  Tujuh lelaki termasuk seorang pemandu bas direman empat hari bagi membantu siasatan pergaduhan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini, yang videonya tular di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Kuantan, Asisten komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 32 dan 44 tahun ditahan secara berasingan di sekitar daerah ini dan Maran.

"Lima suspek ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran. Seorang lagi ditahan pada jam 9 malam semalam.

"Manakala pemandu bas yang berusia 32 tahun ditahan di IPD Kuantan pada jam 1.15 pagi tadi selepas dia tampil untuk memberi keterangan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, semua mereka direman mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, Mohamad Noor mengesahkan pemilik gerai di R&R itu telah membuat laporan polis mendakwa dua pembantu kedainya ditampar, dicekik dan ditendang oleh seorang pemandu bas yang sering makan di kedai itu akibat salah faham.    

Katanya, bagaimanapun pemilik gerai itu tetapi tidak mahu tindakan diambil kepada pemandu bas kerana mendakwa pekerjanya tidak mengalami kecederaan serius.

Ditanya adakah pemilik dan pelayan gerai itu mengenali sekumpulan lelaki dalam video terbabit, Mohamad Noor berkata,kemungkinan adalah kenalan.

“ Kita tidak tolak kemungkinan mungkin ada kaitan sekumpulan ini dengan pihak yang terlibat dalam kes ini. Kita tidak tahu siapa yang berhubung dengan sekumpulan lelaki dalam video ini.

“Jadi untuk memastikan kebenaran itu, siasatan terperinci akan dijalankan mengenai kejadian terbabit sebelum kita serahkan kertas siasatan kepada pendakwaraya bagi membolehkan pendakwaan dibuat,” katanya.