KUANTAN -  “Ini kes polis, biar pihak polis menyiasat kes itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express Sdn Bhd (Sani Express), Mejar (B) Abu Bakar Mohammad.

Beliau mengakui terkejut selepas mendapat tahu pemandu bas ekspres dipukul sekumpulan lima lelaki di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang, dari arah timur,pada jam 1.30 pagi semalam.

Video berdurasi 1 minit 49 saat itu tural sejak malam tadi  menunjukkan mangsa yang berpakaian serba hitam ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badan oleh kumpulan lelaki terbabit.

Kejadian di kawasan tempat letak kenderaan itu turut disaksikan orang ramai yang cuba meleraikan pergaduhan itu.

Bagaimanapun, ada dakwaan mengatakan pemandu bas berkenaan tidak mengasari pelayan kedai di R&R Gambang.

Menyentuh mengenai kejadian terbabit, Abu Bakar berkata, aduan terus kepada syarikatnya boleh dibuat, jika pemandunya ada melakukan kesilapan.

“Kita alu-alukan apa sahaja aduan membabitkan kakitangan Sani Express. Tapi bila dah berlaku kejadian begini.. biar pihak polis menyiasat.

“Saya difahamkan pemandu bas yang terlibat telah membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan pengarah atau wakil dari Syarikat Konsesi Lebuhraya Pantai Timur, Anih Berhad (Anih).

Katanya,sesi perjumpaan itu bagi membolehkan kedua-dua pihak berbincang kerana pihaknya menggunakan kemudahan disediakan oleh Anih.

“Jadi, InshALLAH saya akan berjumpa dengan pihak Anih hari ini,” katanya.