KUANTAN - Empat beranak panik apabila kereta yang dinaiki mereka di Jalan Kampung Tengah dipercayai dilastik dengan guli malam semalam mengakibatkan cermin kereta pecah.

Mangsa, Hoe Man Tat, 35, berkata, ketika kejadian jam 9.30 malam itu, dia yang memandu kereta Jenis perodua Myvi bersama isteri dan dua anaknya sedang melalui jalan di Kampung Tengah selepas mengambil anak di rumah pengasuh.

Selepas melalui sebuah bulatan di kampung tersebut, sebuah kereta jenis Hyundai Tucson berwarna putih berselisih dengannya menyebabkan cermin di bahagian belakang keretanya pecah.

"Cermin sebelah penumpang yang pecah ‘dibaling’ guli mengakibatkan anak saya yang berusia enam tahun terkena kaca tersebut dan cedera.

"Saya cuba mengejar kereta tersebut, namun gagal dan semasa mengejar suspek saya menyuruh anak dan isteri saya tunduk takut penjenayah ‘tembak’ menggunakan guli," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Man Tat berkata, walaupun penjenayah terlepas namun dia bersyukur kerana dapat mengesan nombor pendaftaran kereta tersebut setelah bertembung dengan sepasang suami isteri yang sedang membonceng motosikal.

"Masa itu saya hampir terlanggar mereka ketika mengejar penjenayah.

"Pasangan itu memberitahu kejadian pecah kereta pakai guli sudah banyak berlaku di sini dan menasihatkan agar berhati-hati melalui jalan tersebut.

"Mereka juga dapat mengesan nombor pendaftaran kereta tersebut, iaitu W 5514 G untuk memudahkan pihak polis jejaki," katanya.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang turut berada di balai polis berkenaan untuk mendengar kes tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guli misteri 'menghantui' penduduk Kuantan]

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di bandar ini semakin bimbang keselamatan diri selepas banyak berlaku insiden membaling guli ke arah cermin kereta hingga mengakibatkan kerosakan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Aidil Haryman Mat Nor berkata, kejadian ini dilaporkan berlaku sejak Jun lalu di Jalan Kampung Tengah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Kampung Jawa dan Jalan Haji Junid.

"Sebanyak 11 kes diajukan kepada pihak kami bermula Jun sehingga kes terbaharu pada 6 Disember lalu.

“Kami percaya guli ini dilastik atau ditembak menggunakan senapang angin ke arah kereta-kereta mangsa jika dilihat kepada kesan yang ada,” katanya.