KUANTAN - BN Pahang yakin Ahli Parlimen dan Adunnya tidak akan berpaling tadah seperti didakwa oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun beliau mengambil perhatian mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa wujud gerakan untuk membeli Ahli Parlimen dan Adun Pahang supaya berpaling tadah, seterusnya menjatuhkan BN di negeri itu.

"Saya yakin Adun-adun dan Ahli Parlimen akan memberi sokongan yang kuat dan masih setia bersama BN dan Umno," katanya yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan SUK di sini.

Menerusi laporan sebuah portal semalam, Ahmad Zahid mendakwa ada gunting dalam lipatan yang mengugut dan memujuk Ahli Parlimen dan Adun supaya BN Pahang tumbang.

“Saya ingatkan orang Pahang bahawa sudah ada gunting dalam lipatan. Saya tidak menuduh tetapi kita harus berhati-hati.

“Kita harus membendung agar Ahli Parlimen dan Adun di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu," dakwanya.

sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, beliau terkejut dengan pendedahan Ahmad Zahid pada program 'retreat' Umno Bahagian Temerloh yang turut dihadirinya itu.

"Pasal perkara itu, kena tanya dengan Zahid. Saya dengar dia cakap sahaja...mungkin dia dapat maklumat itu daripada mana mana dan saya pun tak boleh nak cakap ada ataupun tidak kerana saya pun terkejut," katanya.