KUANTAN - Bersatu Pahang mendesak Kerajaan Pusat mewujudkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Wan Shahrir Wan Abd Jalil berkata, ia berikutan wujud ketidakadilan di kalangan pemilihan anggotanya yang didakwa tidak mengikut pembahagian dipersetujui sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini perbincangan di antara Kerajaan Pahang ditadbir BN dan pihaknya bersetuju supaya ratio 50:50 ditetapkan dalam lantikan.

"Namun apa yang berlaku tidak seperti yang dipersetujui sekaligus merasakan penambahan lima ahli MPKK lantikan menteri tidak berbaloi atau mendatangkan manfaat kepada PH di negeri ini.

"Perkara ini sudah dibincangkan dalam PH peringkat negeri di mana kami empat komponen iaitu Bersatu, PKR, DAP dan Amanah, tidak bersetuju dengan kertas kerja cadangan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun," katanya kepada Sinar Harian pada Konvensyen Bersatu Pahang di Dewan Dagangan Mahkota Indera Mahkota di sini, hari ini.

Terdahulu, Rina mencadangkan 11 ahli MPKK itu dilantik oleh negeri dan ingin menambah lima lagi lantikan terus daripada menteri.

"Bagi pandangan beliau boleh menjadi jambatan suara kepada PH. Namun kami pula berpendapat ia langsung tidak memberi kepentingan kepada PH kerana MPKK mempunyai 11 dan jika ada apa apa diperingkat kampung, kami adalah minoriti.

"Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menghantar memorandum kepada perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kita menolak cadangan mewujudkan tambahan lima ahli MPKK.

"Kami juga menggesa untuk mengembalikan semula Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK)," katanya.

Wan Shahrir menambah, ideologi yang berlainan hanya memungkinkan berlakunya konflik dalam pendapat dan pengurusan MPKK.

Dalam pada itu beliau berkata, konvensyen membincangkan pelbagai isu akar umbi untuk didengari Dr Mahathir di samping untuk merapatkan lagi ukhwah sesama ahli daripada 14 bahagian di Negeri Pahang.

Katanya, minit perbahasan direkodkan dan akan dihantar ke peirngkat lebih tinggi untuk dibentangkan dan didengari.