KUANTAN - Lebih 20,000 murid sekolah rendah daripada keluarga golongan kurang berkemampuan di Pahang menikmati bantuan persekolahan daripada Yayasan Pahang pada tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bantuan tahunan menerusi Bantuan Khas Sekolah Rendah Menteri Besar itu bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga menghadapi pembukaan sesi persekolahan 2019.

Menurutnya, kerajaan Pahang meneruskan pemberian dana sudah menjadi tradisi tahunan dengan memperuntukkan RM3.4 juta pada tahun ini bagi sesi persekolahan tahun depan.

“Kita memperuntukan seorang murid dapat sebanyak RM150 dan memberi kepada mereka dalam bentuk wang tunai berbanding kita membelikan mereka persiapan persekolah seperti baju sekolah atau beg sekolah.

“Kita lakukan begitu supaya murid-murid teruja untuk memilih sendiri persiapan persekolahan mereka yang akan membuat mereka seronok untuk ke sekolah,” katanya,

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Bantuan Khas Persekolahan Menteri Besar Pahang di Dewan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar

Dalam majlis tersebut, beliau yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada kira-kira 200 murid daripada kawasan Dun Tanjung Lumpur dan Dun Teruntum.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, banyak bantuan yang disalurkan Yayasan Pahang demi meningkatkan mutu pendidikan seperti biasiswa RM600 setahun kepada pelajar sekolah menengah dan RM300 setahun kepada murid sekolah rendah.

“Memang jika dilihat pada jumlah bantuan yang diberikan ini tidaklah besar tetapi ia diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung ibu bapa bagi sesi persekolahan yang akan dibuka nanti.

“Bantuan ini juga kita bagi pada kaum lain di mana penerima bantuan ini bergantung kepada taraf pendapatan keluarga dan bukannya khas kepada kaum Melayu sahaja,” katanya.

Sementara itu,beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Pahang membelanjakan kira-kira RM1.2 billion sejak 1983 yang membuktikan pihaknya mengambil berat tentang pendidikan di negeri ini.

“Dalam tempoh itu, seramai 1.5 juta murid menerima manfaat daripada bantuan yang diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada geran pendidikan, pinjaman, bantuan dan juga biasiswa.

“Kami percaya dalam jangka masa panjang, mereka akan menjadi permata yang mampu mengubah dan meningkatkan taraf hidup keluarga serta masyarakat sekitar,” katanya.