SEREMBAN - Lebih 50 Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) mengadakan demonstrasi aman sebagai bantahan terhadap kegagalan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyelesaikan isu membabitkan teksi dan Grab, semalam.

Demonstrasi melibatkan pemandu teksi Seremban dan Nilai itu turut menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.  

Wakil GTSM Cawangan Negeri Sembilan, Yahya Khamis berkata, pihaknya menuntut hak sama rata mengenai peraturan melibatkan teksi dan Grab.

Katanya, mereka akur dengan keputusan kerajaan tidak mengharamkan Grab tetapi mereka tidak bersetuju dengan peraturan yang diumumkan menteri.

"Jadi kita meminta pihak kementerian Pengangkutan Malaysia memanggil kita untuk berbincang, merombak semula dan meminda peraturan itu.

"Sekiranya perkara ini tidak berlaku, kami difahamkan pihak Yang Dipetua (YDP) GTSM akan membuat dua petisyen di seluruh negara," katanya selepas demonstrasi berkenaan di Dataran Seremban, semalam.

Terdahulu, Anthony berkata, pemandu Grab dan aplikasi khidmat teksi dalam talian tertakluk kepada peraturan yang sama.

Katanya, beberapa syarat dikenakan bagi membolehkan pengusaha teksi dan aplikasi khidmat dalam talian bersaing di padang yang sama.

"Seperti pemandu teksi, pemandu aplikasi khidmat dalam talian juga perlu membuat pemeriksaan kereta, tahap kesihatan dan memperbaharui kad tahunan pemandu," katanya.

Beliau berkata, semua peraturan baharu itu berkuat kuasa 12 Julai, dengan tempoh setahun diberi kepada pemandu dan syarikat untuk mematuhinya.

"Perkhidmatan teksi dalam talian dikawal selia kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017.

"Syarikat teksi dalam talian wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi sebanyak RM115 sekali setahun, sama seperti ditetapkan kepada pemandu teksi," katanya.