KUALA PILAH - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dukacita apabila statistik menunjukkan penglibatan kalangan umat Islam dalam aktiviti jenayah dan masalah sosial di negeri ini adalah tinggi.

Antara yang ditekankan baginda ialah jenayah sumbang mahram yang mana 10 kes direkodkan tahun ini, sembilan daripadanya dilakukan oleh individu beragama Islam.

“Laporan yang pernah dibentangkan kepada Lembaga Pengampunan Negeri menunjukkan sumbang mahram yang terjadi adalah di antara abang dengan adik kandung, bapa dengan anak kandung serta lebih mengejutkan ialah datuk dengan cucunya sendiri berusia sembilan tahun.

“Sementara itu daripada 83 kes tangkapan rogol yang telah dibuat sepanjang tahun ini, 64 kes adalah tangkapan ke atas individu beragama Islam,” titah baginda pada majlis penyampaian tauliah kepada 64 individu di bawah institusi agama Islam di negeri ini, di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti di sini, semalam.

Baginda bertitah, lebih 90 peratus tangkapan yang dibuat ke atas kesalahan penyalahgunaan dadah adalah orang Islam terutamanya di kawasan Felda di Jempol.

Bagaimanapun baginda menyatakan keyakinan yang polis dan agensi penguatkuasaan lain berusaha beri kesedaran kepada masyarakat dan membanteras perlakuan jenayah.

“Tetapi apa yang beta ingin ketengahkan ialah perancangan yang boleh kita lakukan agar generasi akan datang tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang tidak diingini.

“Kita perlu merancang sekarang walaupun program yang dilaksanakan akan mula berkesan hanya pada 10 tahun akan datang. Jika tiada sebarang langkah dibuat sekarang, karektor yang buruk dalam masyarakat tidak akan berubah sampai bila-bila,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menyeru kepada jabatan berkaitan agar melihat keperluan lain yang mampu menambah baik perjalanan dan pengurusan agama Islam.

Titah baginda, antara keperluan yang mendesak ialah pembinaan bangunan baharu dan penambahan bilangan hakim serta pegawai untuk mahkamah syariah di negeri ini.

“Hakim-hakim dan pegawai syariah tidak ditambah sejak 10 tahun lalu sedangkan kes syariah di negeri ini semakin meningkat.

“Jabatan kerajaan bertanggungjawab juga perlu mengeluarkan satu penerangan dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua kaum mengenai cara pentadbiran Islam khususnya di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, keadaan itu membolehkan semua masyarakat mengetahui Islam berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan sentiasa mempertimbangkan kebajikan seseorang individu sebelum sesuatu keputusan atau tindakan diambil.

Dalam perkembangan lain baginda menyatakan sokongan dengan langkah Kementerian Pendidikan memansuhkan sistem pelajaran berorientasikan peperiksaan untuk murid tahun satu hingga tahun tiga.

Langkah itu selari dengan hasrat baginda iaitu pendidikan awal kepada murid sekolah mengenai tanggungjawab sosial dan moral adalah penting supaya mereka akan lebih berdisiplin dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan.

“Kecemerlangan seseorang individu bukanlah terletak pada pencapaian akademik sahaja tetapi juga nilai-nilai murni yang tersemat dalam diri mereka.

“Generasi muda yang ada ketika ini perlu dididik dengan pendedahan kepada moral dan akhlak yang baik agar mereka menjadi generasi penuh bertanggungjawab pada masa depan,” titah baginda.