SEREMBAN - Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pimpinan Pusat berhubung desakan rakyat yang mahukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan

“Kita menyerahkan kepada kepimpinan Pusat untuk memikirkan dan membuat keputusan.

“Jadi saya tidak boleh kongsikan apa pendirian kerajaan negeri buat masa ini, semuanya terpulang kepada PM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi misi Kemanusiaan Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia di Wisma Negeri,semalam.

Aminuddin berkata, tiada keperluan lagi untuk pihaknya membincangkan perkara tersebut buat masa ini.

Mengulas lanjut kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa sokongan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan semakin merosot, Aminuddin berkata, itu hanyalah pandangan peribadi Rafizi.

“Di peringkat negeri, Kerajaan PH bekerja kuat bagi memastikan sokongan rakyat berterusan malah komited memastikan segala janji-janji di dalam manifesto ditunaikan,” katanya.

“Kita sentiasa mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin menyerahkan sumbangan berjumlah RM72,000 kepada bagi meringankan penduduk Palu yang masih terjejas akibat gempa bumi dan tsunami.

Wang berkenaan diperoleh hasil sumbangan Pejabat Menteri Besar, Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan serta kutipan derma Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

Ia kemudiannya diserahkan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Amal Relief Negeri Sembilan (Arif)