SEREMBAN - Dek kerana hidup serba kekurangan, anak-anaknya terpaksa pergi ke sekolah memakai kasut yang koyak.

Pembantu pasar, Norashimah Mohamad Nor, 40, berkata, peluang anak-anaknya merasa kasut baharu hanya ada apabila suaminya mempunyai ada rezeki lebih.

Katanya, mujur mereka faham dengan keadaan keluarga dan sanggup memakai kelengkapan lama ke sekolah.

Bagaimanapun, ibu kepada lima anak itu berkata, beban memikirkan kelengkapan persekolahan baharu untuk anak-anaknya terlerai apabila dua daripada tiga anaknya yang bersekolah terpilih menerima bantuan program Back To School sumbangan Dun Ampangan di Pasar Raya Mydin di Seremban 2, di sini, semalam.

“Saya bersyukur sangat apabila wakil pejabat Adun Ampangan datang ke rumah beritahu keluarga saya terpilih menerima bantuan.

“Lagipun memang saya kena belikan baju sekolah baharu untuk anak sulung Nornisha Naiema Zulkarnain berusia 17 tahun kerana dia baru dilantik sebagai pengawas dan Naqiuddin Iskandar berusia 14 tahun dilantik sebagai pembimbing rakan sebaya," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, ibu tunggal empat anak, Ernawaty Abd Rashid, 42, berkata, dia menganggap bantuan berkenaan sebagai rezeki buat anaknya, Nor Aina Jazmeera Johaniza, 14, dan Muhammad Afiq, 10, yang menghidap penyakit sendi.

Katanya, bantuan berkenaan merupakan yang ketiga diterimanya dalam tahun ini.

“Bantuan sebegini sangat membantu kehidupan saya, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang kos hidup tinggi dan kelengkapan sekolah pun mahal.

“Tambahan pula saya tak bekerja dan hanya sara hidup dengan menerima tempahan kek cawan dari rumah," katanya.

Katanya, dia sukar mencari nafkah di luar rumah kerana terpaksa menjaga anak lelakinya berusia 12 tahun yang sukar bergerak akibat penyakit sendiri. 

Sementara itu, seramai 195 penerima diberi peluang membeli kelengkapan persekolahan berjumlah RM200 seorang.

Program dirasmikan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan yang juga Adun Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.