SEREMBAN - Usahawan negeri ini melahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berikutan memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk Tabung Pembangunan Usahawan melalui belanjawan 2019.

Difahamkan, peruntukan yang buat pertama kali diwujudkan ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan pembangunan usahawan di negeri ini.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Usahawan dan Penjaja Kecil negeri ini, Mohd Hanif Husain@Hashim, peruntukan yang diberikan itu dapat membantu terutamanya usahawan kecil dan penjaja memulakan perniagaan mereka sebagai modal pendahuluan.

Katanya, sebanyak 50,000 penjaja kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Sembilan, dan daripada jumlah itu seramai 2,000 berdaftar dengan persatuannya.

"Penjaja dan usahawan kecil ini merupakan salah satu pengerak ekonomi dan seharusnya kebajikan serta tumpuan harus diberi kepada golongan sebegini.

"Terima kasih kepada MB kerana mewujudkan tabung usahawan ini, yang pertama kali diadakan khas untuk usahawan.

"Kami berharap bantuan dan peruntukkan yang diberi itu dapat disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan tanpa sebarang ketirisan," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan sesi bersalaman dengan Menteri Besar di pekarangan Dun semalam, sebagai tanda terima kasih di atas peruntukan yang dibuat untuk golongan usahawan melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2019.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan, Amir Hamzah Karim berkata, golongan usahawan di negeri ini perlu diberi suntikan modal untuk membantu mereka memulakan perniagaan.

Katanya, melalui tabung pembangunan usahawan ini, ia dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

"Kita berharap bantuan yang disediakan ini diberi kepada kumpulan sasar dan membantu peniaga menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

"Jika peruntukan yang disediakan ini berjaya menepati sasaran, kita berharap akan ada penambahan peruntukkan sebegini pada masa akan datang," katanya.