MASJID TANAH - Taboh Naning yang terletak dalam parlimen Masjid Tanah bukan sahaja mempunyai keunikan tersendiri malah ada cerita tercatat dalam buku sejarah mengenai lokasi itu.

Mengikut cerita penduduk setempat, asal-usul daerah Naning diambil sempena penyengat kuning dan taboh yang menggambarkan sejenis alat yang dipalu apabila masuk waktu solat dan berlaku kematian yang turut dikenali dengan nama beduk.

Sebelum tiba di tempat yang dinamakan Bukit Penyalang, rombongan Pepatih Nan Sebatang yang merupakan pengasas Adat Pepatih menemui tiga pulau yang mana di pulau itu terdapat sarang penyengat kuning yang sangat berbisa dan dikenali sebagai naning.

Selain itu, ditemui juga taboh maka bermula peristiwa ganjil di mana tabuh tersebut berbunyi sendiri pada setiap petang Jumaat seandainya berlaku peristiwa tidak diingini di kawasan itu.

SHAHRUDDIN

Penduduk, Shahruddin Salim, 62, bersetuju dengan sejarah itu dan memaklumkan Naning merupakan daerah yang dibuka orang Minangkabau dalam kurun ke-15.

Menurutnya, kawasan yang sebelum ini kuat mengamalkan Adat Pepatih dipercayai  diperintah penghulu awal yang bergelar Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah daripada keluarga kerabat Naning.

Katanya, kehidupan masyarakat Melayu ketika itu lebih kepada mengusahakan pertanian termasuk sawah padi dan sejarah Dol Said juga ada menceritakan beliau menentang British yang mengenakan satu persepuluh hasil negeri itu termasuk pertanian kepada British.

"Naning yang mempunyai 25 mukim dan berkeluasan 200 batu dibuka orang Minangkabau dari Sumatera Barat yang merantau ke Semenanjung Tanah Melayu sehingga wujud kisah Naning dan taboh yang kemudian digabungkan menjadi satu nama iaitu Taboh Naning," katanya.

Tambahnya, kedudukan geografi wilayah Naning yang terletak di kawasan utara Melaka dan bersebelahan Rembau, Negeri Sembilan menguatkan lagi asas pembentukan Adat Pepatih seperti mana terkandung dalam perjanjian Dato' Nan Duo Selo iaitu sebuah perjanjian pentadbiran wilayah di antara Maharaja Basa atau dikenali Datuk Ketemenggungan dengan Adat Pepatih Naning Sebatang.

Kolam Air Panas Cherana Putih salah satu lokasi pelancongan dalam Taboh Naning.

Taboh Naning juga tidak terlepas dengan kisah sejarah mengenai keberanian pahlawan Melayu, Dol Said atau nama sebenar Abdul Said.

Shahruddin berkata, sikap keberanian Dol Said dalam sejarah Melaka memang tidak asing buat penggemar sejarah mengenai kehebatannya yang menentang penjajah British dan menerima gelaran Penghulu Dol Said.

Menurutnya, Dol Said dari suku kaum Semelenggang dilantik menjadi penghulu selepas pemergian Penghulu Anjak pada tahun 1799 sekali gus menjadi penghulu kesembilan Naning ketika berusia 26 tahun.

"Sehingga kini terdapat makam Dol Said yang terletak di belakang Masjid Taboh Naning yang juga dipanggil Masjid Taboh Naning sebagai peninggalan dan bukti sejarah.

"Selain itu terdapat sebuah perigi yang dinamakan perigi gaung yang tidak pernah kering airnya dalam kawasan masjid itu yang turut menjadi tempat bersiram Datuk Naning selepas upacara pelantikan ataupun berkojan," katanya.

Biarpun Taboh Naning kaya dengan sejarah dan keistimewaan termasuk tempat pelancongan seperti Kolam Air Panas Semulajadi Cherana Putih, namun masalah persengketaan perebutan jawatan Datuk Naning sehingga sekarang belum menemui sebarang titik noktah.