TAMPIN - Polis hari ini mengesahkan lelaki yang disyaki membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin minggu lalu, disambung reman sehingga 20 Disember ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata suspek berusia 34 tahun itu disambung reman selepas tempoh reman pertama selama empat hari tamat hari ini.

"Tahanan reman tersebut bagi melengkapkan siasatan dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, seorang lelaki ditahan kurang 24 jam selepas dia disyaki terlibat dalam panggilan ancaman bom di Hospital Tampin di sini.

Lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, pada jam 10.45 malam.

Manakala berdasarkan soal siasat polis ke atas suspek, dia mengaku membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin dan Hospital Pakar KPJ Seremban pada 27 November lalu.