MELAKA TENGAH - Seorang kanak-kanak lelaki nyaris lemas di sebuah taman tema air di Bukit Katil, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.15 petang, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai datang ke lokasi berkenaan bersama keluarga sebelum ditimpa insiden malang tersebut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penguasa Kanan Bomba 11, Abudl Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.13 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa telah diselamatkan orang ramai.

"Mangsa yang diselamatkan orang awam telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum kami tiba dan mangsa kemudian dihantar ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Saya berharap orang ramai terutama yang mempunyai anak-anak kecil sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga bagi menggelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi," katanya.