JEMPOL - Bantuan khas persekolahan sebanyak RM100 kepada 15,000 anak peneroka Felda di negeri ini diberikan kepada mereka yang berkelayakkan sahaja.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, perkara itu meliputi anak generasi kedua Felda yang tinggal di asrama, bagaimanapun memerlukan pengesahan daripada Felda.

"Hari ini kita serahkan bantuan kepada 202 penerima dan bakinya akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan bermula atau selewat-lewatnya pada minggu pertama persekolahan.

"Kerajaan negeri prihatin dengan nasib peneroka Felda yang masih belum menerima elaun sara hidup akibat beberapa masalah.

“Berikutan terdapat lebihan hasil, kita terpanggil untuk membantu mereka dengan memberikan bantuan ‘one-off’ membabitkan jumlah RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Majlis sumbangan bantuan persekolahan anak-anak peneroka Felda Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir 2, pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru,Teo Kok Seong; Timbalan Pengarah Pendidikan, Maznah Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Besar Felda, Anuar Malek.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Aminuddin bagaimana pun enggan mengulas lanjut lanjut berhubung pengumuman Undang Luak Jelebu ke 16 yang dibuat di Kampung Kemin, Jelebu semalam.

"Saya serahkan perkara ini kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)," katanya." katanya.

Terdahulu, Aminuddin mengumumkan kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas persekolahan sebanyak RM100 kepada 15,000 anak peneroka Felda di negeri ini.

Katanya, bantuan itu bertujuan meringankan beban peneroka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) 2018 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini.