MELAKA - Kerajaan Melaka akan memperketat prosedur pengagihan baja percuma kepada petani di seluruh negeri bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan ketirisan dalam proses pengagihan baja.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata mulai tahun depan, proses agihan baja akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan ia dilaksanakan secara lebih telus dan adil.

"Kita akan meneruskan pelaksanaan pemberian baja percuma kepada golongan sasar dan menyalurkannya secara berperingkat kerana tidak mahu berlaku penyalahgunaan (bantuan) dalam kalangan petani.

“Kita akan teliti dan pastikan petani menerima subsidi berdasarkan bajet yang sudah diputuskan, baja yang dikeluarkan perlu ada tarikh serta dihabiskan dalam tempoh empat bulan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Sementara itu, mengenai kes serbuan baja disembunyikan di dalam stor atas tanah yang diceroboh, pada 30 Ogos lepas, Norhizam yang juga Adun Pengkalan Batu berkata individu tersebut telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 1(a)  Kanun Tanah Negara 1965. - Bernama