JASIN - Sebuah lori tangki yang membawa muatan bitumin terbakar secara tiba-tiba di kilometer 178.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu, pemandu yang berusia 48 tahun itu terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Arshad Abu berkata, ketika kemalangan kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Sungai Buloh.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian kebakaran berpunca daripada bahagian enjin lori tangki terbabit yang mengeluarkan percikan api secara tiba-tiba.

"Sebaik menyedari kejadian itu, pemandunya telah memberhentikan kenderaan itu di tepi lebuh raya," katanya.

Menurut Arshad, jalan terpaksa ditutup bagi kerja-kerja memadam kebakaran dan mula sesak dari kilometer 175 Lebuhraya Plus arah utara.

Sementara kenderaan menghala ke Selatan tidak terjejas dan aliran lalu lintas bagi kenderaan menghala ke utara telah dibuka semula pada jam 10.30 malam sebaik kebakaran berjaya dipadamkan.