MELAKA - Kepimpinan masjid memikul amanah besar untuk mengembalikan kegemilangan institusi masjid sebagai pusat yang diasaskan atas prinsip iman dan takwa.

Bagaimanapun, anak kariah dan jemaah juga harus memainkan peranan mengimarahkan masjid di kawasan masing-masing.

Imam I Masjid Al-Khausar, Kampung Umbai, Ustaz Zaidi Hassan, imarahnya sesebuah masjid apabila seseorang mukmin berulang-alik ke masjid, mendirikan solat jemaah, iktikaf dan terlibat dengan kegiatan dakwah, ceramah, kuliah dan seumpamanya.

Menurutnya, umat Islam akan menemukan ketenangan hidup dan penyucian jiwa kerana di sana terdapat majlis-majlis bermanfaat yang diatur.

"Dengan itu, masjid bagi umat Islam adalah institusi paling penting dalam membina masyarakat cemerlang dari sudut akhlak dan pekertinya.

"Mengimarahkan masjid pula adalah tugas yang berkait rapat dengan konsep kejadian manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar," katanya.

Beliau yang berkelulusan bidang syariah undang-undang serta dakwah komunikasi berkata, masyarakat hari ini mudah terdedah dengan bermacam-macam isu yang tidak terjangkau dek akal fikiran sehingga mendorong kepada gejala tidak sihat.

Justeru, kehebatan sesebuah masjid bukanlah bergantung kepada senibinanya semata-mata tetapi juga kepada tahap pengimarahannya.

"Antara yang saya tekankan adalah solat berjemaah kerana sebagaimana disebut ALLAH SWT di dalam al-Quran, solat itu boleh mencegah kemungkaran. Maknanya, setiap kemungkaran yang berlaku ia berbalik kepada solat kita.

"Saya di kampung Umbai sendiri, setiap kali di dalam kuliah sentiasa menekankan perkara ini, jika kita dalam kariah Umbai sendiri tidak boleh bangunkan solat berjemaah, jadi siapa lagi nak bangunkan.

"Sekurang-kurangnya dirikanlah solat Subuh dan Isyak berjemaah sebab apabila seseorang itu boleh mendirikan solat Subuh dan Isyak berjemaah, maka dia akan dapat kelebihan minimum mendirikan malam. Di sini juga ada kelebihan lain yang kita tidak sedari ia termasuklah boleh mencegah dari kemungkaran," katanya.

Seperkara lagi, peranan ibu bapa dilihat begitu penting di dalam menggalakkan anak-anak untuk hadir ke masjid terutama dalam mendirikan amalan solat berjemaah.

"Bagi ibu bapa, amat penting, kejutkanlah anak-anak kita, ahli keluarga kita supaya pergi ke masjid. Jadi satu lagi masalah ibu bapa jika pergi masjid sekalipun hanya membawa diri mereka seorang sahaja tanpa libatkan anak-anak jadi bagaimana hendak imarahkan masjid, keadaan ini sekaligus tiadalah amal makruf nahi mungkar.

"Menyerlahnya sesuatu masjid bergantung kepada masyarakat setempat sendiri, macam kita di Umbai, pelbagai program serta kuliah telah diatur cuma menghadirkan diri sahaja, peluang sudah disediakan," katanya.

Kadang-kadang katanya, sesuatu amalan sunat sukar dikerjakan secara berseorangan malah ia perlu secara berjemaah.

"Misalnya amalan sunat seperti solat Duha, sekurang-kurangnya kalau di rumah kita sukar untuk mendirikannya, tetapi sekiranya datang ke masjid kita dapat tumpang semangat kawan-kawan dan ia akan jadi mudah.

"Setakat ini, saya masih belum berpuas hati tentang tahap imarahnya masjid di Umbai namun, kami kalangan  pengurusan masjid dan pegawai syarak telah melakukan sebaik mungkin bagi menggalakkan ahli kariah hadir ke masjid namun ia berbalik kepada hati masing-masing," katanya.