ALOR GAJAH - Dua penumpang mengalami kecederaan parah manakala 12 lagi turut cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan dua buah lori di Kilometer 195 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah selatan di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 pagi tadi dan antara yang cedera adalah pemandu bas terbabit yang berusia dalam lingkungan 50-an.

Mangsa yang terlibat terdiri daripada sembilan warga Singapura, dua Thailand dan tiga rakyat tempatan.

Mangsa berusia antara 27 hingga 61 tahun dan sebahagian daripadanya dikejarkan ke Hospital Jasin manakala sebahagian lagi dibawa ke Hospital Alor Gajah.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Asisten Superintendan K. Mahadevan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori dedak tanpa muatan gagal mengelak lori di hadapannya yang sedang bergerak perlahan memasuki lorong ketiga.

"Lori dedak tersebut telah melanggar bahagian belakang lori di hadapannya dan lima minit kemudian datang pula sebuah bas ekspres yang gagal mengelak kemalangan lalu merempuh lori tersebut.

"Akibat kemalangan itu, seramai 14 orang penumpang termasuk pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan dengan seorang wanita tempatan patah kaki dan seorang lagi di masukkan ke zon merah Hospital Melaka," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut K. Mahadevan, difahamkan ketika kejadian itu, bas berkenaan dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Singapura.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.