SEREMBAN – Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek sifatkan perbandingan berterusan yang dibuat antara beliau dengan Menteri Besar, Aminuddin Harun oleh sesetengah pihak tidak lain lagi bertujuan mahu melihat perpecahan kepimpinan kerajaan negeri dan parti.

Beliau yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Seremban berkata, beliau berada dalam satu pasukan dengan Aminuddin dan sentiasa bekerjasama sama ada ada dalam kerajaan negeri mahupun parti.

“Saya lihat masih ada yang cuba melaga-lagakan antara saya dengan Aminuddin, ia adalah sesuatu yang  tak wajar kerana tumpuan kita sekarang adalah untuk membangunkan negeri.

“Aminuddin juga masih Pengerusi PKR negeri dan saya bersamanya untuk membantu. Kita bekerja dalam pasukan yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai laporan portal yang melaporkan beberapa Ketua Cabang di negeri ini telah menolak pelantikan Aminuddin sebagai Pengerusi PKR negeri dan mencadangkan namanya, Mohamad Rafie berkata, beliau menghormati dan menghargai pandangan mereka.

Bagaimanapun, katanya, jangan disebabkan perkara itu ia mengundang kepada perpecahan parti sehingga boleh memberi kesan negatif.

“Bukan saja pandangan ketua cabang, tapi semuanya kita perlu hormati dan jangan abaikan. Jika ada yang kurang, perlu diperbaiki.

“Pandang ia dari sudut positif kerana tiada manusia yang sempurna. Melalui pandangan itu, bagaimana kita cuba memperbaikinya supaya menjadi lebih baik,”katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, pemimpin cabang PKR Negeri Sembilan didakwa pernah menulis surat kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mereka menolak pelantikan Aminuddin sebagai Pengerusi PKR negeri.

Difahamkan, seramai tujuh daripada lapan Ketua Cabang PKR di negeri ini didakwa menolak kepimpinan Aminuddin.