SEREMBAN - Kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas persekolahan sebanyak RM100 kepada 15,000 anak peneroka Felda di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban peneroka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Kerajaan negeri prihatin dengan nasib peneroka Felda yang masih belum menerima elaun sara hidup akibat beberapa masalah.

“Justeru berikutan terdapat lebihan hasil, kami terpanggil untuk membantu mereka dengan memberikan bantuan ‘one-off’ membabitkan jumlah RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) 2018 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini, hari ini.

Adun Sikamat itu berkata, bantuan itu akan diberikan secepat mungkin kepada murid dan pelajar sekolah pada sesi persekolahan Januari 2019.

Katanya, ibu bapa yang terbabit boleh mendapatkan bantuan itu daripada pihak sekolah dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Adun Jeram Padang, Datuk L Manickam mencadangkan supaya bantuan itu turut diberikan kepada anak peneroka Felcra.

Bagaimanapun Aminuddin memaklumkan, beliau sudah menghubungi Pejabat Felcra dan dimaklumkan mereka bersetuju untuk memberikan bantuan sama.

“Namun jika Felcra tidak dapat berikan bantuan itu, kerajaan negeri setuju untuk berbincang semula,” katanya.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) 2018 diluluskan dengan sokongan majoriti ahli dewan manakala 15 pembangkang mengambil pendirian berkecuali.