ALOR GAJAH - Pengguna smart meter atau meter pintar di negeri ini disarankan supaya memanfaatkan aplikasi mudah alih myTNB bagi membuat semakan penggunaan bil elektrik semasa.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, setakat ini dianggarkan lima peratus pengguna menggunakan aplikasi pertama TNB itu.

“Ini penting bagi mengukur dengan cekap kadar penggunaan elektrik di rumah dalam tempoh setiap setengah jam sekali gus menggelakkan pengguna menerima maklumat yang menyeleweng berkenaan kelebihan penukaran meter biasa kepada smart meter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program kembali ke sekolah TNB 2019 peringkat Dun Durian Tunggal yang disempurnakan Adun Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Wahab di Dewan Kompleks Japerun Durian Tunggal di sini, hari ini.

Menurutnya, selain dapat mengetahui kadar pengguna elektrik semasa, pengguna juga boleh melihat dan membuat bayaran bil dengan mudah serta pelbagai fungsi pada bila-bila masa selain tidak perlu menunggu bil fizikal.

"Menerusi aplikasi itu juga pengguna boleh membuat sebarang aduan sekiranya mempunyai masalah mengenai smart meter yang sebenarnya adalah satu inisiatif TNB untuk menambah baik sistem itu dan bukannya bertujuan memberi kesan negatif kepada bil elektrik pengguna seperti yang pernah tular sebelum.

"Bila kita menggunakan myTNB, ia dapat membantu pengguna menggunakan elektrik dengan cara yang lebih berhemah dan cermat sekiaranya hari ini penggunaan terlalu banyak, esok mungkin boleh rancang menggunakan elektrik dalam kadar rendah kerana setiap setengah jam akan dapat melihat kadar penggunaan itu," katanya.

Ahmad Rezahan berkata, hampir 40 peratus pengguna bertukar kepada smart meter termasuk pengguna domestik mahupun komersial sejak mula diperkenalkan di negeri ini.

"Melaka terpilih negeri pertama untuk penukaran meter pintar dan setakat semalam kita menukarkan sebanyak 132,000 daripada 340,000 pelanggan kediaman di negeri ini kepada smart meter," katanya.

Dalam pada itu seramai 100 pelajar sekolah rendah terdiri daripada keluarga asnaf dan kurang bernasib baik dun itu menerima sumbangan beg dan pakaian sekolah sebagai salah satu tanggungjawab sosial TNB membantu masyarakat.