SEREMBAN - Sebagai langkah jangka panjang untuk meningkat pendapatan penoreh getah, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Perusahaan Utama menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) kini menggalakkan pekebun kecil getah untuk beralih daripada menghasilkan ‘getah beku mangkuk' kepada lateks.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, dana berjumlah RM12 juta telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk penyediaan kemudahan pusat pengumpulan lateks di beberapa lokasi strategik di seluruh negara.

Menurutnya, dengan penghasilan lateks, pekebun kecil getah boleh menikmati peningkatan pendapatan sehingga 30 peratus sebulan.

"Kita menggalakkan pekebun kecil getah mempraktikkan 'amalan pertanian baik' kerana menerusinya pekebun kecil akan dapat menikmati harga jualan getah yang lebih baik bersesuaian dengan kualiti getah yang dihasilkan.

"Menerusi agensi kerajaan khususnya LGM, kerajaan negeri menggalakkan pekebun kecil getah untuk menghasilkan getah yang berkualiti menerusi program taklimat hari kesedaran pelesenan dan kualiti getah," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau).

Bakri (PH-Klawang) berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selaku badan yang mengawal selia kesejahteraan industri sawit Malaysia telah melaksana dan merancang beberapa langkah jangka pendek dan panjang dalam usaha memulihkan pasaran atau harga kelapa sawit.

Katanya, antara langkah jangka pendek yang telah pun dilaksanakan bagi meningkatkan harga komoditi kelapa sawit ialah dengan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara melalui peningkatan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum ke program B7 (adunan tujuh peratus biodiesel sawit dan 93 peratus diesel petroleum) mulai November 2014 daripada program B5.

"Program B7 akan menggunakan 575,000 tan minyak sawit setahun. Kerajaan juga sedang bercadang untuk meningkatkan penggunaan domestik produk sawit melalui perlaksanaan program biodiesel dari B7 kepada B10 dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan P Gunasekaran (PH-Seremban Jaya) bagaimana jabatan tertentu merancang dan memberi galakan kepada warga ladang untuk melibatkan diri dalam sektor penternakan, Bakri berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) komited memberi penumpuan terhadap aktiviti penternakan yang berdaya maju menerusi bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, sebagai satu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penternak dan pengusaha bidang penternakan, JPV menawarkan beberapa bentuk bantuan yang dapat membantu mereka menjana pendapatan.

"Bantuan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pinjaman dan juga pemberian terus," katanya.