SEREMBAN - Sebanyak 89 sekolah berkonsepkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) diwujudkan, dengan dilengkapi capaian internet yang baik, bilik khas dan makmal komputer bagi melaksanakan pengajaran serta pembelajaran secara maya.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, selain itu, sekolah berasrama penuh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil turut mempunyai kemudahan PAK-21 yang lebih lengkap iaitu Smart Tv, Smart Box serta Ipad.

“Di Negeri Sembilan, kita ada 475 sekolah dan PAK-21 memang banyak tertumpu di Seremban iaitu sebanyak 28 sekolah.

“Selain itu, di Kuala Pilah sebanyak 16 sekolah, Jempol dan Jelebu masing-masing 12, Port Dickson (22), Tampin (6) dan Rembau (5),” katanya pada Sidang Dun Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Serting).

Mohamad Rafie berkata, konsep sekolah PAK-21 akan diperluaskan ke sekolah-sekolah luar bandar dengan menaik taraf capaian jalur lebar yang menjadi permasalahan utama untuk melaksanakannya di sekolah luar bandar.

“Permasalahan asas dalam pelaksanaan sekolah bercirikan abad ke-21 ini adalah masalah infrastruktur berkaitan jalur lebar.

“Selagi perkara ini tidak diselesaikan memang sukar untuk sekolah luar bandar dinaik taraf kepada sekolah abad ke-21, jadi sekarang ini kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya.