RANTAU PANJANG - Gantung pisau, tebar pukat, itulah yang terpaksa dilakukan oleh penoreh getah di sini bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadi nelayan darat setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Ab Rahman Awang Hamat, 47, berkata, profesion nelayan darat adalah jalan terbaik bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap.

"Daripada terus berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa, lebih baik saya turun menahan pukat," katanya.

Menurutnya, dalam sehari dia mampu memperoleh pendapatan antara RM50 hingga RM100, bagaimanapun ia bergantung kepada hasil tangkapan.

Katanya, kesemua hasil tangkapan itu dijual di tepi Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas seawal jam 8 pagi.

Antara hasil tangkapan ikan darat yang dijual oleh Ab Rahman ialah baung, puyu, haruan, keli, sepat dan bermacam-macam lagi.