RANTAU PANJANG - Bukan sahaja memiliki raut wajah yang cantik, Jasma Asmida Muhammad Jusoh, 25, anak kelahiran Kampung Lachang, di sini, ligat mengemudi bot enjin galah dan mengayuh sampan setiap kali kawasan rumahnya dilanda banjir.

Jasma Asmida yang merupakan seorang suri rumah berkata, seawal usia 8 tahun lagi dia sudah didedahkan dengan kemahiran mengayuh perahu.

"Apabila umur mencecah 11 tahun, saya mula didedahkan dengan kemahiran mengemudi bot," katanya.

Menurutnya, kemahiran itu terus subur sehingga hari ini dan dia mampu mengemudi bot sejauh 30 kilometer.

Katanya, untuk menjadi jurumudi bot, seorang itu perlu tenang dan bijak membaca arus aliran air.

Jasma Asmida berkata, sepanjang musim banjir dia tidak akan duduk diam dan akan mengendalikan bot sama ada urusan sendiri atau membantu membawa sanak saudara.