JELI - Seorang suami menarik nafas lega apabila isteri yang disangka terperangkap dalam kebakaran blok penempatan pekerja di sebuah kilang kayu selamat.

Mohd Farizuan Razali, 20, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja yang terletak kira- kira 300 meter dari blok penempatan berkenaan.

"Sebaik melihat kepulan asap, saya terus berlari untuk menyelamatkan isteri kerana ketika itu dia pulang ke rumah.

“Masa sampai di situ, api makin marak dan saya tak boleh buat apa-apa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam keadaan sedih itu, Mohd Farizuan lega apabila mendengar namanya dipanggil dari arah belakang.

Rupanya, isterinya Nurul Imani Md Halim, 18, selamat dan tidak terlibat dengan kebakaran itu.

Jelasnya, dia risaukan keselamatan isterinya apabila sebelum kejadian, isterinya itu memberitahu untuk pulang ke rumah mengemas pakaian mereka dan anak-anak.

“Alhamdulillah dia selamat. Walaupun dah tinggal sehelai sepinggang, hilang dua telefon bimbit, peralatan elektrik dan beberapa dokumen penting, tapi saya bersyukur tidak ada kemalangan jiwa dalam kebakaran berkenaan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Saiful Nisam Mustafa@ Mokhtar, 26 yang turut menghuni blok berkenaan berkata, kejadian itu diketahui ketika pulang untuk mandi.

"Saya ke rumah kakak ipar berhampiran tempat ini kira- kira jam 11.15 pagi, disebabkan tak selesa dan agak panas saya kemudian balik untuk mandi," katanya.

Sebaik tiba di hadapan blok penempatan kira-kira jam 11.35 pagi, dia melihat api marak dan tidak ada apa yang sempat diselamatkan.